Sayup-sayup
terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan
mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam
samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal
pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi?
Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari.
Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu
bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan
urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib,
adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel
diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni
“study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur.
Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?
Teringat
aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz
Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada
dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik
untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan,
mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih
mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua
pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.
Aku
mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai
kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih
melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah
tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan
Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.
Lebih
pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil.
Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang
telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras
suaranya.
Subhanallah…
ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang
aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu
mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din
di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah
jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak
Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas
tu haram tak jejak kaki ke surau.
Aku
beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan
Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.
“Dah
pukul berapa kak?”
“Emmm…
dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.
Shahrul
bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku
pasti dia sembahyang.
Apa
dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…
Aku
rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen panjang
tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin baru dibeli.
Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di Indonesia. Masyaallah,
Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku yakin si Shahrul ni tak
pernah baca buku-buku agama pun. Yang diminatinya tak lain itulah… majalah
sukan, komik dan hiburan. Seribu satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.
Memang
pernah ayah dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan
bola sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!
Sudah
lebih lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun
kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk membudayakan
Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri menentang, bagaimana dengan
adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah masing-masing telah berumahtangga,
jadi… tak kisahlah. Namun ada keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang
berlaku di dalam rumah.
Selepas
solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih terasa.
Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta, tempat kubekerja
sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.
Aku
terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang
telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula bergerak
lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi kayuhan basikal.
Makin lama makin jauh.
“Ada…
ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.
“Ya
mak,” sahut ku lemah.
“Bangun
solat Subuh ye nak.”
“Ha’ah,”
aku patuh.
“Mak…
ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.
“Ke
surau dengan adik-adik… berjemaah.”
Alangkah
indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah lama
kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu pada
kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan
hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya ada aku seorang…
bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama Kekasih. Terasa rumahku yang
selama ini suram mula bercahaya… telah ada jiwa…
@@@
Aku
menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu adalah
cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan terus berzikir
sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada seorangpun ahli
keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti masing-masing selepas
solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu membawa kemiskinan, penyakit,
malas dan lain-lain kesan negatif?
Shahrul
dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas. Pada
mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila kutanya jawab
mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini mereka kaki tidur nombor
satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh ke atas baru bangun. Lepas
bangun menonton televisyen. Tengah hari baru mandi. Sekarang sudah berbeza
benar.
Sesekali
aku menjenguk mereka melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar
berlari anak keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak
berdua ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka
berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah kena air
embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang digalakkan Islam.
Pagi
itu kami menghadap sarapan secara berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang
membaca doa beserta maksudnya sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku
mengingatkan adik-adik supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati
sepanjang masa makan. Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya
mendapat sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang
agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang bisa
mengubah segalanya. Syukur.
Ayah
ke pasar bersama Shahrul sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk
meminjamkan kaset kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk
mengorek cerita daripada ibu.
“Mak,
Ada rasa seronok balik kali ini.”
“Iyelah,
dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.
“Ada
rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”
Ibu
tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya didongakkan
ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik hadiah daripada
menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah hasil tangan Abang Zamri
sendiri
“Ini
semua kerja Allah Ada. Mak sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga
kita… supaya kita berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala
saranan dan teguran Ada.”
Ibu
mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak
sangka.”
“Apa
dah jadi Mak?” soalku lebih serius.
“Abang
Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia mendakwahkan
budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat tak tahu… dia
berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke, cara dia berpakaian ke,
apa ke di rumah kita ni.”
Memang
kuakui Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak
Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak pernah
meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada orang tua.
Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak pernah lari daripada
berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak terpengaruh dengan keseronokan
dunia. Tidak ada perkara lain yang dicintainya selain daripada berjuang untuk
Islam.
Abang
Zamri jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit
banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para artis,
pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan sehari-hari dalam
keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Entahlah
apa yang telah dibuatnya hingga keluarga kami berubah. Ingin kutanya pada ibu
tapi… tunggulah nanti, apabila ada masa yang sesuai, insyaallah.
@@@
“Mak,
Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga
Abang Zamri…”
“Mak
ke Terengganu?” soalku.
“Iye,
cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan
kami.”
“Habis
tu… apa yang jadi?”
Ibu
terus bercerita dengan anjang lebar sambil kami melipat kain baju. Menurut ibu,
keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya seramai sembilan
orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman bahagia dan tenang Banyak
perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama lima hari berada di sana.
Waktu
tiba di kampung halaman Abang Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh
hormat. Gembira sungguh mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah
ceria dan menampakkan ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan
ibu dan ayah sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah
dan ibu agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak
sendiri pun susah nak cium tangan.
Rumah
mereka bersih walaupun tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga.
Irama nasyid, bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti
kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari padi
sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar negara.
Waktu
Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi lagi rumah itu telah dipenuhi
dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang bertilawah, ada yang berzikir, ada yang
solat dan sebagainya. Kemudian, yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh
berjemaah ke masjid. Oleh kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun
dan pergi ke masjid sekali.
Dari
awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya turun ke pantai yang nampak
dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi Pak Luqman, bapa kepada Abang
Zamri untuk mendengar tazkirah pendek. Kemudian adik-adik Abang Zamri yang
kecil berlari-lari anak dalam satu barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan
bapanya pula membasahkan tubuh dengan air embun yang diambil daripada
pokok-pokok kayu. Tujuannya untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih
apabila dipelawa oleh Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah
dan ibu berada di sana.
Waktu
bersarapan tiba. Semua isi rumah ada, tidaklah seperti rumah kami- sarapan
sendiri-sendiri. Mereka menghadap makanan dengan wajah yang manis, dimulakan
dengan doa. Alangkah mesranya hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan
tenang yang sukar digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara
tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa
bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk… takut tak
kena pula jalannya.
Selepas
mengemaskan rumah secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di
serambi rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya
mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka mendendangkan
lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka sendiri. Sura mereka yang
berharmoni indah bergema sampailah ke tengah hari. Kata emak Abang Zamri,
kumpulan nasyid budah-budak itu sering menerima jemputan di sekitar daerah.
Selama lima hari di sana, ibu sudah jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh
dikatakan setiap album nasyid terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu
bukan main lagi… dengan karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke
tengahjalan. Tentu ibu malu kalau terkenangkannya.
Kononnya
hubungan Pakcik Luqman dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin.
Mereka selalu tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah
tua. Kalau duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi
kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat. Al
maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang, bertegang
leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari luar pun tak pernah
ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbincang hal agama… jauh
sekali.
Pelbagai
pengalaman baru yang ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah
menemui formula keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga
kami. Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada
keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.
“Eh,
Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku
tersenyum mengelamun.
“Eh…
mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.
“Mak
sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang ama
Shahrul tu…”
“Alah
mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.